วันอาทิตย์ที่ 29 พฤษภาคม พ.ศ. 2554

Ulama' dan perjuangan di Patani

Ulama Dan Perjuangan KemerdekaanDi Patani[1] 1

Oleh: Abu Dignah al-Fathoni


al-Syahid Haji Sulong

Abstrak

Konflik di antara umat Islam Patani dan Thailand sudah terjadi semenjak Thailand (Siam) mula melebar jajahannya ke kawasan selatan. Umat Islam Patani yang sudah bertapak di situ semenjak kerajaan Langkasuka lagi terpaksa berjihad mempertahankan tanah air mereka. Fokus kajian ini ialah melihat peranan ulama masa kini dalam konflik yang berlaku antara umat Islam Patani dengan Thailand. Kajian ini menggunakan pendekatan diskriptif analisis terhadap ulama Patani. Kajian menemukan bahawa ulama Patani secara umumnya boleh dikategorikan kepada tiga golongan utama yang terdiri daripada ulama yang pro kemerdekaan, ulama yang pro integrasi dan ulama neutral.

Pendahuluan:

Kajian ini bertujuan menyelidiki dan memaparkan pendirian dan pendapat ulama Islam di wilayah selatan Thailand tentang jihad dalam gerakan kemerdekaan di Patani. Rujukan asasi untuk penulisan kertas kerja ini adalah terdiri daripada buku-buku kecil yang dikeluar dan disebarkan oleh kerajaan Thai, surat-surat penerangan berkala yang disebarkan oleh barisan pejuang dan juga maklumat-maklumat yang diperoleh secara lisan dari sebahagian ulama Islam di sana. Menyedari situasi gawat yang sedang berlaku di sana, di samping bentuk dan pola pergerakan pada keseluruhannya adalah didasarkan di atas penyusunan dan pergerakan rahsia (under-ground), kertas kerja ini - di atas faktor keselamatan - tidak akan mendedahkan mana-mana pihak yang bertelagah, baik secara langsung maupun tidak langsung, khususnya yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia, melainkan fakta-fakta itu sudah menjadi pengetahuan umum.

Bahagian pertama:

Pengertian ulama

Ulama yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah golongan yang secara sedar dan rela hati memilih pendidikan agama seperti di pondok[2] dan sekolah agama sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan. Mereka mendapat pengiktirafan dan penghargaan masyarakat sebagai golongan ulama. Gelaran lain untuk golongan ini adalah seperti ‘Ustaz’ dan ‘To’ Guru’ (tuan guru). Penghayatan dan pengamalan agama memang lebih menonjol oleh golongan ini dari segi sikap, tindak-tanduk, percakapan, bahkan cara berpakaian mereka sehari-hari.

Golongan ini dianggap lebih ahli dan mengetahui dalam hal agama jika dibandingkan dengan orang awam. Ini adalah kerana sebahagian mereka mendapat pendidikan dan pengetahuan agama di pondok, atau di Al-Madrasah al-Islamiyyah (sekolah agama Islam rakyat) dan sebahagian mereka melanjutkan pelajaran ke Makkah. Sebahagian yang lain pula mendapat pendidikan lanjutan seperti di negara-negara Arab di Timur Tengah dan utara Afrika. Ada juga yang mendapat pendidikan agama di Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan, India dan lain-lain.

Ulama-ulama ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat. Mereka amat dihormati oleh masyarakat Islam setempat[3]. Mereka berperanan mewarnai pola pemikiran masyarakat sekeliling. Perkara ini sememangnya disedari oleh Kerajaan Thai yang bukan Islam. Pihak kerajaan mengambil langkah mendekati golongan ulama ini dan menjalin hubungan baik dengan mereka. Ini berkemungkinan untuk memenangi hati rakyat agar pihak kerajaan dilihat ‘menghormati para ulama’ dan mengambil berat kebajikan mereka’. Pihak kerajaan menyedari hakikat bahawa rakyat sangat menghormati golongan ini. Dari segi lain, hubungan baik dengan ulama’ ini adalah bertujuan untuk memantau aktiviti dan pergerakan mereka yang boleh membawa kesan buruk kepada kerajaan. Bahkan lebih dari itu, sejarah membuktikan bahawa pihak kerajaan ‘tidak ikhlas’ dalam perkara ini kerana mereka juga bertindak tegas dengan menangkap dan memenjarakan para ulama’ yang disyaki terlibat dalam penentangan kepada dasar dan polisi kerajaan serta membunuh para ulama dengan cara-cara tertentu. (sambung)

(segala persoalan boleh email ke \n selamat1430@yahoo.com Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya )



[1] Pelbagai cara dan perubahan dalam penulisan perkataan “Pattani” antaranya: (1) PETANI: ejaan ini digunakan oleh pengarang-pengarang Pattani Darussalam atau orang Melayu selain Melayu Pattani yang bukan bergelar ulama. (2) FATHANI: orang pertama yang menulis cara ini ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang kemudiannya dita‘rifkan oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain iaitu al-Fathani. FATHANI ini diambil dari perkataan فطان yang bermaksud bijaksana, cerdik dan pintar. Ia akhirnya digunakan untuk nama salah sebuah negeri daripada negeri-negeri Melayu yang penduduknya sangat baik, cerdik, arif dan bijaksana yang hidup harmoni dalam tempoh yang panjang pada zaman dahulu di bawah satu kedaulatan dari pada sebahagian kedaulatan-kedaulatan mereka yang sangat berpengaruh ketika itu. (3) PATTANI: merujuk kepada nama wilayah atau cangwad oleh kerajaan Thai. Cara penulisan ini kemudiannya diikuti oleh orang ramai dalam tulisan mereka. (4) PATANI: dengan dihilangkan satu huruf “T”, yang mungkin bermaksud untuk tidak meniru tulisan dari kerajaan Thai, yang menulis dengan dua huruf “T”. (5) FATANI: ditulis oleh beberapa orang yang biasanya diguna pakai di hujung nama para ulama. (Lihat: Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Safyuddin al-Abbasi (2000), Tarikh Fatani. Versi salinan: Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ditransliterasi dan disunting oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah, c. 3, Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyah, h. 2-3 dan Haji Wan Muhammad Saghir Abdullah (1991), Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, j.1, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah, h. 7-8).

[2] Institusi pondok ialah salah satu daripada institusi pengajian tradisional Islam yang merupakan cetusan daripada pengajian rumah, suffah (serambi masjid), masjid dan juga istana raja-raja. Matlamatnya adalah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam kepada manusia bagi membentuk keperibadian Muslim yang sempurna. Di Nusantara dan Tanah Melayu, institusi ini terkenal dengan berbagai-bagai panggilan iaitu seperti pasantren, langgar (surau) dan pondok. Namun demikian, institusi ini mempunyai struktur pengajian, falsafah dan matlamat yang serupa. Rumah-rumah kecil yang didirikan secara berkomponen sebagai tempat tinggal pelajar dalam bentuk yang sama dan sederhana bangunannya, melambangkan identiti dan falsafah institusi pondok itu sendiri. Lihat: H.j Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 220-221.

[3] Pondok dan Madrasah di Patani, Hasan Madman, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2001, h.92

menambah kesedaran untok umat yang satu tujuan

Jihad di Fathoni semarak menyala


Wajib kita bangkit bangun membela


Berkorban harta jiwa dan raga


Gigih berjuang semangat merdeka


Andai kita tak sanggup berjuang


Umat Fathoni dirantai kehinaan


Umat Fathoni dibelanggu penjajahan


Umat Fathoni dilaknat tuhan


Umat Fathoni jangan lekas putus asa


Sebab Allah bersama kita


Mendaulat hukum Allah di bumi pusaka


Itulah harapan dan cita-cita


Insya Allah bumi Fathoni merdeka


Insya Allah bumi Fathoni Allah redha janganlah simpan untok seorang diri