Saya ingin memberi pendapat mengenai kenyataan saudara tentang isu selatan Thailand. Semua orang bercakap mengenai rundingan damai antara kerajaan pimpinan Surayud dan juga kumpulan pemisah.
Bahkan, ada juga kedengaran bos saudara dahulu iaitu Tun Mahathir pun menjadi orang tengah mengenai rundingan damai ini. Benarkah Tun menjadi orang tengah? Dengan siapa beliau berunding? Kenapa pemisah apabila selepas berjumpa dengan Tun telah mendapat sebuah masjid yang akan didirikan oleh Tun di Teluban, Pattani? Rakyat Patani bukan mahukan masjid, mereka mahukan `kemerdekaan’ bahkan sudah berlambak-lambak masjid di Patani.
Sebenarnya Tun Mahathir bukan berunding dengan pemisah tetapi hanyalah dengan guru-guru agama, ulamak-ulamak di Pattani sahaja. Mereka ini tidak terlibat dalam proses perjuangan mengangkat senjata untuk menubuhkan negara yang merdeka. Siapa Tun untuk dibawa berunding? Malah latarbelakang Tun Mahathir amat buruk semasa pemerintahannya mengenai hak asasi terhadap rakyatnya.
Jadi, apa yang diperkatakan oleh kerajaan Thailand hanyalah khayalan semata-mata. Tidak pernah ada pun cubaan untuk berunding, berbincang, berdiskusi mengenai keamanan di selatan Thailand ini.
Kami tahu saudara juga pernah menyokong gerakan di Pattani iaitu Gerakan Islam Pattani (GIP). Sebenarnya saudara tersilap pilih mengenai gerakan di Pattani pada masa lalu.
Kita tidak akan berunding, selagi tidak undurkan tentera, sekolah pondok ditekan, bahasa melayu dianak-tirikan. Masalah Selatan Thailand hanya boleh difahami hanya dengan sejarah sahaja. Malah sejarahnya adalah panjang.
saya turut merasakan derita rakyat Pattani dan mengerti kebimbangan saudara mengenai inisiatif perdamaian oleh pemerintah Thai yang baru. Saya juga tidak terlibat dengan inisiatif Tun Dr M walaupun saya berpendapat kita tidak harus menolak usaha beliau termasuk mendirikan masjid di Teluban. Malah kita perlu menggalakkan tokoh-tokoh kaya untuk melakukan lebih banyak khairat terutama dalam bidang pendidikan.
Pendirian saya adalah menggesa kedua pihak berunding bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlarutan dan meragut banyak nyawa. Dan saya akur dengan pendirian saudara bahawa perundingan mesti berdasarkan syarat keadilan menghentikan segala bentuk keganasan, mengiktiraf hak rakyat beragama dan mengamalkan bahasa mereka tanpa tekanan dan diskriminasi.
Perundingan harus melibatkan semua wakil masyarakat Pattani dan tidak semata-mata memilih kelompok yang disengangi oleh pemerintah Thai sahaja. Kami mendoakan semuga kekusutan ini dapat dileraikan dengan sebaiknya..
Dari : Anwar bin Ibrahim