วันศุกร์ที่ 20 พฤษภาคม พ.ศ. 2554

Selatan Thai Menunggu Sinar


Di dalam suasana Muslim di negara ini menjalani ibadah Ramadan dengan sakinah (tenteram) sesama mereka dan sempat beriftar dengan kenalan bukan Muslim, lain halnya di wilayah selatan Thailand.

Masyarakat Melayu Thailand terus dalam keadaan ketidakpastian kerana pergolakan yang berlarutan, yang sejak Januari tahun lalu telah mengorbankan tidak kurang seribu jiwa.

Sejak minggu terakhir September membawa ke minggu pertama Ramadan, sekurang-kurangnya sembilan orang tentera Thai terbunuh dalam dua serangan. Pada akhir Ogos lalu pula, 131 penduduk wilayah selatan lari ke Malaysia, mencari suaka daripada tindakan keras pihak keselamatan Thai di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Kes pelarian itu merumitkan masalah kerana menimbulkan perang mulut diplomatik antara Bangkok dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, marahkan kenyataan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang menyindir situasi hak asasi manusia yang rendah di Thailand dengan mengatakan pelarian Thai hanya akan dikembalikan jika situasi hak manusia dan keselamatan mereka terjamin. Bagi Thaksin, itu satu campur tangan urusan dalam negeri Thailand.

Tuduhan yang sama beliau lontarkan kepada Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) kerana menginterviu penduduk desa yang lari ke Malaysia bagi tujuan menentukan sama ada mereka boleh diberikan status rasmi ´orang pelarian´.

Malah, kerajaan Thai turut menuduhPertubuhan Negara-negara Islam (OIC), yang cuba memberi nasihat, sebagai tidak arif akan keadaan sebenar rantau itu.

Pelbagai sebab disabitkan dengan pergolakan di wilayah selatan.

Dari sudut pandangan orang Melayu Thai, pergolakan itu terbit akibat penjajahan politik dan seterusnya budaya dalam kehidupan mereka sebagai penduduk asal wilayah selatan oleh Bangkok yang mengenakan dasar mengasimilasikan mereka dalam budaya penduduk majoriti Thai yang beragama Buddha.

Perjanjian Inggeris-Siam 1902 telah meletakkan wilayah selatan, yang diketahui pernah mempunyai kerajaan Melayunya sendiri, orang Melayu dengan bahasa Yawinya sebagai majoriti, dibawah kerajaan Siam. Mereka menjadi minoriti kepada penduduk Thai yang beragama Buddha.

Selain asimilasi, kerajaan Thai juga pernah menggalakkan, terutama sepanjang 1960-an hingga 1980-an, transmigrasi penduduk Thai-Buddha dari utara ke wilayah selatan untuk mengimbangi demografi etnik.

Teori lain mengaitkan pergolakan sekarang kepada masalah kemiskinan. Diskriminasi ekonomi dikatakan dikenakan ke atas orang Melayu sehingga mereka mendapati diri mereka terpinggir di wilayah sendiri akibat ketidakseimbangan peluang pekerjaan dan kekayaan.

Kedua-dua faktor itu di peringkat awalnya mendorong pembentukan gerakan pemisahan.

Pergolakan kian meruncing kerana tindakan keras pemerintahan Thaksin yang didakwa memanfaatkan sokongan kepada dasar perang melawan pengganasan bagi menekan gerakan pemisahan di selatan.

Tindakan keras itu termasuk penculikan dan pembunuhan Somchai Neelapajit, peguam terkemuka yang mewakili dua Muslim Thai yang dituduh terlibat dengan pengganasan; penggunaan kekerasan ke atas para belia yang hanya bersenjata parang sehingga membunuh 110 orang di Masjid Krue Se pada 28 April 2004; dan kematian 85 penunjuk perasaan di Tai Bak pada 25 Oktober berikutnya.

Julai lalu pula, tindakan lebih keras diambil dengan penguatkuasakan perintah darurat. Ini memberikan kerajaan kuasa menyaring lebih luas, membolehkan penahanan tanpa dakwaan selama 30 hari dan mengecualikan daripada tuduhan jenayah kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di selatan.

Tindakan kekerasan terakhir itu menjadi satu faktor berlakunya pelarian besar-besaran ke Malaysia yang membuka dimensi antara bangsa pergolakan itu.

Sebelum itupun, Thaksin sudah pun diberi gambaran betapa tindakan keras menangani masalah di selatan boleh memaksa wujudnya gerakan militan yang lebih radikal yang akan lebih menjadikannya berdimensi antarabangsa.

Sebenarnya usaha mengurangkan ketegangan telah diambil kedua-dua pihak, Bangkok dan Putrajaya.

Thaksin sendiri tidak langsung menuding jari ke atas pejuang Islam walaupun memberi banyak tanda tidak senang dengan keterlibatan beberapa pondok. Beliau juga membentuk Suruhanjaya Kebangsaan bagi Menjalin Semula Hubungan Baik (NRC) setelah mendapat kritikan antarabangsa terhadap tindakannya ke atas Muslim di selatan.

Malaysia juga bertindak serupa dengan menyarankan rundingan antara kedua-dua negara.

Pelarian dari selatan Thailand itu juga segera dipindahkan ke Terengganu bagi mengelakkan kerumitan politik kerana Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Paling mengganggu Thaksin ialah pelarian 131 orang warga Thai itu merupakan satu tamparan nasional yang amat memalukan - kali pertama warga Thai dipaksa lari ke sebuah negara lain kerana mengelakkan diri daripada penindasan di tanah air sendiri.

Adakah Thaksin akan mengalah, atau akan bertindak lebih keras mengeksploit pendekatan popular menagih simpati nasional rakyat Thai yang lain dengan mengorbankan rakyat Melayu Muslimnya di selatan?

Di sinilah dasar Thaksin menjadi penentu sejauh mana pergolakan di wilayah selatan Thailand itu akan menjadi semakin berdarah.

Sedang Muslim di sini menikmati juadah puasa, terpapar kesedaran bahawa suasana ini kerana hasil kerjasama, keyakinan dan saling menghormati sesama warga Malaysia.

menambah kesedaran untok umat yang satu tujuan

Jihad di Fathoni semarak menyala


Wajib kita bangkit bangun membela


Berkorban harta jiwa dan raga


Gigih berjuang semangat merdeka


Andai kita tak sanggup berjuang


Umat Fathoni dirantai kehinaan


Umat Fathoni dibelanggu penjajahan


Umat Fathoni dilaknat tuhan


Umat Fathoni jangan lekas putus asa


Sebab Allah bersama kita


Mendaulat hukum Allah di bumi pusaka


Itulah harapan dan cita-cita


Insya Allah bumi Fathoni merdeka


Insya Allah bumi Fathoni Allah redha janganlah simpan untok seorang diri